Friday, August 15, 2008

Dimanakah Puasa Kita

MEREKA yang berpuasa itu dapat dibahagikan kepada tiga golongan iaitu orang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia, berpuasa kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah dan tidak berpuasa kerana tidak malu kepada Allah dan manusia.

Mereka yang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia, puasa mereka adalah berdasarkan kepada perasaan sedar dan insaf kepada perintah Allah yang mewajibkan berpuasa.

Golongan ini akan sentiasa berhati-hati dan sentiasa menjaga puasanya daripada perkara yang boleh membatalkan puasa. Oleh kerana itu, di mana juga mereka berada, tersorok atau tidak, mereka tetap memelihara puasanya.

Merek yang berpuasa kerana Allah sedar bahawa Allah tetap melihat perbuatan mereka walaupun mereka tidak dapat melihat-Nya.

Golongan kedua pula, mereka ini berpuasa semata-mata kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah. Lantaran itu, apabila berada jauh daripada pandangan manusia, tanpa segan-silu mereka meninggalkan puasa.

Mereka ini berpuasa bukan kerana taat dan patuh kepada perintah Allah tetapi kerana malu kepada manusia lain yang berpuasa.

Biasanya orang seperti ini berpuasa kerana hendak menunjuk-nunjuk atau riak. Mereka tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah mahupun pada diri sendiri.

Golongan ketiga ialah mereka yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada manusia apatah lagi kepada Allah. Golongan ini dianggap paling hina di sisi Allah.

Bahkan ada ketikanya mereka ini sanggup mengaku sebagai orang bukan Islam supaya terlepas daripada hukuman dan tindakan pihak berkuasa. Mereka tidak sedar bahawa pengakuan itu boleh membatalkan syahadah.

Sebaliknya, jika mereka tahu kelebihan serta rahmat dijanjikan Allah kepada golongan yang berpuasa untuk mendapat reda Allah, pasti mereka akan ikhlas menunaikan ibadat puasa.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap orang yang puasa satu hari kerana Allah, maka Allah menjauhkannya neraka sejauh 70,000 musim.” (Riwayat Muslim)

No comments: